Sabtu, 23 April 2011

Bina Asas Perhubungan Yang Diredhai Allah

Aku pernah putus cinta. Hampir tiga tahun rasanya aku bercinta dengan seseorang yang sangat aku sayang hinggalah satu hari si dia minta 'clash'. Pada masa tu, aku blur, langsung tak tahu nak buat apa-apa sebab aku dah buat segala perancangan untuk jadikan si dia sebagai teman hidupku. Aku buat bisnes, aku ambil upah, dan lain-lain lagi semata-mata untuk kukuhkan kewangan untuk aku mengikat si dia secara rasmi.


Aku memilih untuk bersama dengan dia semata-mata kerana dialah orang pertama yang pernah aku ungkapkan kata cinta. Aku nak aku dan dia jadi benar-benar halal dan tidak lagi bercinta seperti sebelum ini yang cukup melalaikan. Tapi, dia terlebih dulu yang minta putus. Alhamdulillah.


Dan memang betul, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan. Setiap apa yang kita rancang, tak semestinya akan terjadi, kecuali dengan izin Allah. Apa yang terbaik untuk kita itulah yang akan Allah berikan untuk kita. Bersangka baiklah dengan DIA. Lagi satu perkara, rumah tangga yang aman bahagia takkan terbina jika asasnya adalah kemurkaan Allah.


Sekarang, apa yang penting ialah, aku perlu lebih sabar dan tekun untuk benar-benar mencapai apa yang pernah aku ungkapkan dan aku cita-citakan. Aku nak cuba jadi baik. Aku selalu berangan untuk dapat teman hidup yang baik tapi dalam masa yang sama aku tak pula berusaha sedaya upaya untuk jadi baik. 

Menjadi baik untuk dapat yang baik

Moga aku terus istiqomah dalam meneruskan setiap perkara baik yang pernah dan sedang aku lakukan dan semoga aku mempunyai kekuatan untuk bina asas perhubungan yang diredhai Allah. Moga aku berjaya, insya Allah.


Khamis, 27 Januari 2011

Jaga Ikhtilat, Tundukkan Pandangan, Kawal Hati

Aku perlu cekalkan hati untuk tundukkan pandangan. Mata tak boleh liar melihat golongan yang bukan satu jantina dengan aku kerana boleh merosakkan hati. Ditakuti niatku untuk menjadi manusia yang lebih baik akan terencat jika aku terus 'sayang' untuk menundukkan pandangan.

Menundukkan pandangan bukan bermaksud berjalan dengan cara tunduk. Berjalanlah macam mana pun, asalkan mata tidak meliar mencari-cari kelibat golongan hawa yang memang sedikit sebanyak akan menerbitkan rasa kagum pada jiwa tetapi dalam masa yang sama akan menjerumuskan aku dalam keadaan tidak keruan dan tiada ketenangan.

Memang benar golongan hawa itu adalah sebesar-besar fitnah bagi kaum lelaki

Kuatkan diri, cekalkan hati dan selalu bersama-sama dengan kawan-kawan sama jantina yang baik dan tidak melalaikan, insya Allah, niat ini akan berhasil.


Cinta Manusia? Sekarang Masih Bukan Masanya Lagi

Cinta? Aku tak tahu apa nak cakap bila sebut tentang cinta. Apa yang aku tahu, aku pernah lemas dalam cinta manusia yang tidak terjamin setianya, tidak terjamin manfaatnya dan tidak terjamin kebenarannya. Setakat yang aku tahu, cinta manusia banyak yang mengecewakan walaupun kebanyakan masanya adalah menggembirakan.

Manusia ni adalah satu ciptaan yang unik yang mudah berubah-ubah pandangan, nilai malah sifatnya. Manusia boleh jadi sebaik malaikat, sejahat jin, dan pelbagai lagi. Ini menyebabkan urusan dengan manusia terdedah dengan seribu kemungkinan. Mungkin kemungkinan tersebut adalah menggembirakan, mungkin kurang menyenangkan malah mungkin menyakitkan.

Jadi, aku dah dapat pengajarannya. Tak perlulah asyik mengejar cinta manusia yang kemungkinan untuk berubah itu tinggi. Aku perlu lebih mengejar cinta Allah kerana itu yang lebih baik bagiku walaupun hati ini sememangnya meronta untuk mencari pasangan walaupun aku tahu aku masih tak mampu.


Insya Allah, sampai masa akan ada cinta manusia untuk kita, dan sememangnya aku dah ada cinta manusia tersebut, iaitu cinta kedua orang tuaku. Cinta manusia akan datang dengan cinta Allah, jika tak datang pun, cukuplah cinta Allah kerana itu adalah sebaik-baik cinta bagiku. Bukan berputus asa, cuma sekadar berpegang pada realiti dan tak mahu lagi tejebak dengan perkara-perkara palsu.