Ahad, 15 Januari 2012

Bersawang, Lama Ditinggalkan

Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillah, setelah hampir 3 bulan mendiamkan diri, akhirnya terbuka hati untuk kembali menulis di sini. Mungkin kerana terlalu banyak perkara yang difikirkan, banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, serta banyak cita-cita yang ingin dicapai menyebabkan aku terlupa akan blog ini.

Tiada apa yang boleh aku tulis kali ini, moga entri ringkas ini jadi galakan untuk aku terus menulis dalam ruangan yang aku telah anggapkan sebagai tempat untuk aku renung kembali segala perkara, segala tindakan yang telah aku lakukan agar menjadi ingatan untuk aku menjadi lebih baik..insya Allah

Sabtu, 1 Oktober 2011

Kisah Seorang Anak

Seorang anak sering mengeluh,
'Kenapa aku terpaksa belajar susah payah?'
'Kenapa aku terpaksa bangun pagi untuk ke sekolah?
belajar perkara yang aku langsung tak minat'
'Kenapa aku sering terpaksa tidur lewat demi menyiapkan kerja-kerja sekolah?'
'Kenapa aku sukar mendapatkan apa yang aku ingin,
sedangkan aku telah lakukan apa yang ibu ayahku mahukan'
..kenapa ini..kenapa itu..

Terlalu banyak persoalan dalam fikiran seorang anak,
Sedang dalam masa yang sama, si anak ini sering lupa,
Ibu ayah rela bersengkang mata, mengerah keringat, memeras fikiran,
demi memberikan sesuatu yang terbaik untuk anak.

Si anak berpeluang belajar ditempat-tempat yang indah,
cukup lengkap segala kemudahannya,
Sedang ibu ayah di rumah sering kepanasan,
dek terik mentari mencari rezeki buat anak untuk terus belajar.

Si anak berpeluang ke menara gading,
Sedang ibu ayah tempat tetapnya hanya di baruh, di ladang,
Jikapun menara gading dijejaki mereka,
hanyalah kerana menghantar anak tersayang.

Ibu ayah sering menasihati anak supaya belajar bersungguh-sungguh,
Si anak fikirkan ibu ayah hanya mahukan kebanggaan dari kejayaan seorang anak,
Sedangkan si anak lupa, ibu ayah hanya tidak mahukan si anak,
turut sama susah kehidupannya,
kerana mungkin ibu ayah telah melaluinya.

Ibu ayah telah sering berusaha menjadi yang terbaik buat anaknya,
Moga si anak ini juga mampu menjadi seorang anak yang soleh,
yang sering mengingati dan mendoakan ibu dan ayah..amiin

Khamis, 15 September 2011

Jika Benar Cinta

Jika benar cinta, seorang pencinta akan sanggup melakukan apa sahaja terhadap yang dicintainya. Tidak berhajat kepada sebarang balasan, tidak mengharap sebarang penghargaan. Itulah nilai cinta yang ditunjukkan oleh seorang pencinta sejati.

Seorang ibu, apabila mendengar suara tangisan anak kecilnya akan terus memujuk dan menghibur serta cuba meredakan tangisan si anak, hatta malam telah menginjak tua. Seorang ayah, rela bersengkang mata, berkerah keringat demi mencari sesuap rezeki untuk anak dan isteri tercinta. Inilah bukti cinta sejati, cinta seorang ibu jua cinta seorang ayah.


Bagi si anak, setelah meningkat dewasa, cinta yang sama sekali berlainan yang didamba. Cinta dari seseorang yang langsung tiada kena mengena malah tidak pernah dikenali sebelum ini. Sang lelaki, cuba mencari cinta seorang perempuan. Sang perempuan pula, sangat menunggu-nunggu cinta dari lelaki. Tambah dikesali, setelah 'bercinta', tidak dikatakan cinta jika tidak berpegangan tangan. Tidak dikatakan cinta jika tiada ucapan-ucapan syahdu dan rindu. Sedangkan dalam masa yang sama, tiada sekali panggilan kepada ibu ayah sebagai tanda ingatan.



Jika benar cinta, tiada syarat yang harus dikenakan. Berpegangan tangan bukanlah tanda kecintaan. Kata-kata manis indah bermadah jua bukan. Cinta ibu ayah jualah cinta yang paling benar. Bukan menghalang, namun jika benar seorang lelaki cintakan seorang perempuan, jagalah perasaan cinta tersebut dan cubalah jadi yang terbaik. Jika benar seorang perempuan cintakan seorang lelaki, jagalah hati, maruah sebelum benar-benar dimiliki oleh sang lelaki. Jika benar cinta, berubahlah..