Khamis, 15 September 2011

Jika Benar Cinta

Jika benar cinta, seorang pencinta akan sanggup melakukan apa sahaja terhadap yang dicintainya. Tidak berhajat kepada sebarang balasan, tidak mengharap sebarang penghargaan. Itulah nilai cinta yang ditunjukkan oleh seorang pencinta sejati.

Seorang ibu, apabila mendengar suara tangisan anak kecilnya akan terus memujuk dan menghibur serta cuba meredakan tangisan si anak, hatta malam telah menginjak tua. Seorang ayah, rela bersengkang mata, berkerah keringat demi mencari sesuap rezeki untuk anak dan isteri tercinta. Inilah bukti cinta sejati, cinta seorang ibu jua cinta seorang ayah.


Bagi si anak, setelah meningkat dewasa, cinta yang sama sekali berlainan yang didamba. Cinta dari seseorang yang langsung tiada kena mengena malah tidak pernah dikenali sebelum ini. Sang lelaki, cuba mencari cinta seorang perempuan. Sang perempuan pula, sangat menunggu-nunggu cinta dari lelaki. Tambah dikesali, setelah 'bercinta', tidak dikatakan cinta jika tidak berpegangan tangan. Tidak dikatakan cinta jika tiada ucapan-ucapan syahdu dan rindu. Sedangkan dalam masa yang sama, tiada sekali panggilan kepada ibu ayah sebagai tanda ingatan.



Jika benar cinta, tiada syarat yang harus dikenakan. Berpegangan tangan bukanlah tanda kecintaan. Kata-kata manis indah bermadah jua bukan. Cinta ibu ayah jualah cinta yang paling benar. Bukan menghalang, namun jika benar seorang lelaki cintakan seorang perempuan, jagalah perasaan cinta tersebut dan cubalah jadi yang terbaik. Jika benar seorang perempuan cintakan seorang lelaki, jagalah hati, maruah sebelum benar-benar dimiliki oleh sang lelaki. Jika benar cinta, berubahlah..

2 ulasan:

  1. assalamualaikum
    pengisian yg baik ,
    bole muhasabah diri , boleh ambil untk share ?

    BalasPadam
  2. waalaikumussalam..

    maaf kerana lambat untuk jawab pertanyaan saudari..jika dirasakan baik untuk dikongsikan, silakan :)

    BalasPadam