Khamis, 27 Januari 2011

Jaga Ikhtilat, Tundukkan Pandangan, Kawal Hati

Aku perlu cekalkan hati untuk tundukkan pandangan. Mata tak boleh liar melihat golongan yang bukan satu jantina dengan aku kerana boleh merosakkan hati. Ditakuti niatku untuk menjadi manusia yang lebih baik akan terencat jika aku terus 'sayang' untuk menundukkan pandangan.

Menundukkan pandangan bukan bermaksud berjalan dengan cara tunduk. Berjalanlah macam mana pun, asalkan mata tidak meliar mencari-cari kelibat golongan hawa yang memang sedikit sebanyak akan menerbitkan rasa kagum pada jiwa tetapi dalam masa yang sama akan menjerumuskan aku dalam keadaan tidak keruan dan tiada ketenangan.

Memang benar golongan hawa itu adalah sebesar-besar fitnah bagi kaum lelaki

Kuatkan diri, cekalkan hati dan selalu bersama-sama dengan kawan-kawan sama jantina yang baik dan tidak melalaikan, insya Allah, niat ini akan berhasil.


Cinta Manusia? Sekarang Masih Bukan Masanya Lagi

Cinta? Aku tak tahu apa nak cakap bila sebut tentang cinta. Apa yang aku tahu, aku pernah lemas dalam cinta manusia yang tidak terjamin setianya, tidak terjamin manfaatnya dan tidak terjamin kebenarannya. Setakat yang aku tahu, cinta manusia banyak yang mengecewakan walaupun kebanyakan masanya adalah menggembirakan.

Manusia ni adalah satu ciptaan yang unik yang mudah berubah-ubah pandangan, nilai malah sifatnya. Manusia boleh jadi sebaik malaikat, sejahat jin, dan pelbagai lagi. Ini menyebabkan urusan dengan manusia terdedah dengan seribu kemungkinan. Mungkin kemungkinan tersebut adalah menggembirakan, mungkin kurang menyenangkan malah mungkin menyakitkan.

Jadi, aku dah dapat pengajarannya. Tak perlulah asyik mengejar cinta manusia yang kemungkinan untuk berubah itu tinggi. Aku perlu lebih mengejar cinta Allah kerana itu yang lebih baik bagiku walaupun hati ini sememangnya meronta untuk mencari pasangan walaupun aku tahu aku masih tak mampu.


Insya Allah, sampai masa akan ada cinta manusia untuk kita, dan sememangnya aku dah ada cinta manusia tersebut, iaitu cinta kedua orang tuaku. Cinta manusia akan datang dengan cinta Allah, jika tak datang pun, cukuplah cinta Allah kerana itu adalah sebaik-baik cinta bagiku. Bukan berputus asa, cuma sekadar berpegang pada realiti dan tak mahu lagi tejebak dengan perkara-perkara palsu.

Rabu, 26 Januari 2011

Masalah Ada Penyelesaiannya

Kadang-kadang aku tak faham diri sendiri, tak tahu apa yang aku mahu buat, tak tahu nak sesuaikan dengan keperluan dan keadaan yang sebenar. Aku selalu bagi nasihat pada kawan-kawan yang seolah-olah ada masalah tapi masalah aku sendiri kadang-kadang aku tak tertanggung. Aku tahu cara penyelesaiannya tapi tak berani (mungkin segan dan malu) untuk ambil jalan penyelesaian tersebut.

Bagi aku, masalah akan terasa ringan untuk ditanggung apabila ada seseorang yang sedia untuk berkongsi ataupun sekurang-kurangnya mendengar dan menasihati. Ini yang aku tak ada. Aku selalu nasihat kawan-kawan yang bermasalah bukan sebab apa, tapi semata-mata ingin kawan-kawan turut sama bagi nasihat pada aku.



Moga aku dapat kawan yang sedia untuk menjadi kawan baik aku dan untuk itu, aku perlu lebih dahulu jadi kawan baik kepada semua orang. Aku akan cuba. Ada orang kata, kawan terbaik ialah ibu bapa, dan aku setuju. Cuma aku sedikit segan untuk berkongsi masalah aku dengan mereka walaupun aku tahu, ibu dan ayah aku akan bagi sokongan yang penuh untuk meringankan masalah aku. Aku tak mahu menyusahkan mereka.

Ada juga yang kata, isteri boleh jadi teman yang terbaik. Nampaknya aku terpaksa kahwin cepat-cepatlah :) Tapi untuk dapat isteri yang boleh jadi teman baik ni bukan senang, aku kena jadi lebih baik lagi sebab hanya lelaki yang baik akan dapat perempuan yang baik.

Selasa, 25 Januari 2011

Bangun Tidur, Lakukan Tiga Perkara

Alhamdulillah, dapat bangun awal pagi ni. Nak cuba selalu bangun awal sebab Rasullah SAW pernah bersabda (ingat-ingat lupa) yang bermaksud lebih kurang begini:

"Anak Adam apabila tidur akan diikat oleh syaitan dengan 3 ikatan. Ikatan pertama akan terlerai jika apabila dia bangun, dia berlindung dengan Allah (baca doa bangun tidur). Ikatan kedua akan terlepas sebaik saja dia berwuduk, dan ikatan ketiga akan terlucut sebaik sahaja dia bersolat"

Semoga aku istiqomah untuk bangun awal dan tidak lupa untuk melakukan tiga perkara tadi sebaik sahaja aku bangun tidur.



Aku juga akan cuba untuk membaca satu 'ain ataupun sekurang-kurangnya satu halaman daripada Al-Quran sebab selalunya, jika pagi aku mulakan dengan bacaan Quran, hari itu akan dapat aku lalui dengan tenang tanpa banyak masalah yang muncul. Moga aku dikuatkan oleh Allah untuk terus melaksanakan perancangan yang baik ini.

Seikatsu No Kaizen, Satu Permulaan

Seikatsu No Kaizen, improvement of life, penambahbaikan keadaan diri. Tujuan utama aku bina blog ini semata-mata sebagai catatan (mungkin diari) yang akan bantu aku dalam menjadikan diri aku yang esok, lebih baik daripada diri aku hari ini.

"Tiada untung jika aku gagal untuk jadi lebih baik pada hari esok, malah sangat rugi apabila aku hari ini lebih teruk dari semalam"

Moga dengan blog ini, aku dapat selalu muhasabah diri, selalu diingatkan dengan catatan-catatan pengalaman yang memungkinkan aku untuk jadi manusia yang lebih baik. Insya Allah.